Sabtu, 14 November 2009
Munajat Cinta 2
Judul buku : Munajat Cinta 2
Penulis : Taufiqurrahman al-Aziziy
Penerbit : PTS
Harga : RM 16.00
Bilangan muka surat : 344
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Aini)
Tarikh baca : 1-3 November 2009
Terbitan tahun : 2009
Ayda diuji dengan kematian tiga orang yang dikasihinya – sahabatnya Raudhah, bapa dan abangnya. Kesempitan hidup memaksa dia kembali ke kota untuk bekerja sebagai penjual surat khabar. Dia terpaksa meninggalkan ibu dan adiknya demi mencari pendapatan menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Sesampainya di sana, dia menyewa dengan Kak Santi dan teman-teman yang aktif dalam sebuah persatuan wanita yang begitu kuat memperjuangkan hak-hak wanita. Ayda bekerja kuat. Rutin hidupnya bermula selepas solat Subuh sehingga tengah hari. Kemudian ke perpustakaan untuk membaca atau meminjam buku, petangnya bertamu ke rumah Lis, sahabatnya dan malam melakukan urus diri.
Kepulangannya kali ini mengejutkan dirinya sendiri. Baru empat bulan meninggalkan kota, sahabatnya Lis dan Hasan telah berubah menjadi muslim dalam erti kata yang sebenar. Dari penyanyi jalanan dan buruk akhlaknya, mereka berdua berubah menjadi muslim yang taat kepada agama. Malahan, mereka berdua telah selamat bernikah! Subhanallah. Ibu Lis juga telah berubah menjadi baik. Namun, di mana Amir?
Ayda bingung apabila disampaikan kepadanya bahawa Ustaz Adib menyintainya. Bagaimana mungkin seorang ustaz mahu mengambil dirinya sebagai suri hidup sedangkan ramai lagi muslimah yang cantik lagi alim di dalam jemaah Firqotun Najihah? Dia bukan ahli jemaah. Mengikuti taklim juga dia jarang. Bukan dia tidak lupa dia pernah bertengkar dengan Ustaz Adib kerana ingin mempertahankan pendapatnya dan dia menganggap pendapatnya adalah betul.
Dalam pada itu, Ayda bertemu dengan Amir secara tidak sengaja. Kecewanya Ayda melihatkan yang Amir masih lagi seorang pemabuk. Amir sebenarnya kecewa dengan Lis dan Hasan yang dilihat telah berubah menjauhkan diri darinya setelah mendapat hidayah Allah. Namun, saya rasakan Lis dan Hasan tidak salah. Mungkin Amir yang tidak dapat menerima perubahan mendadak dua sahabatnya itu dan juga tidak dapat menerima teguran dari mereka. Lis dan Hasan nampak agak tegas dalam menegur Amir.
Lalu Ayda menjadi rapat semula dengan Amir. Lis merasa bimbang lantaran Amir juga diketahuinya menyimpan perasaan cinta kepada Ayda. Tetapi Ayda sebenarnya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Amir mahupun Ustaz Adib. Dia tidak mengenal cinta, lalu bagaimana rasanya cinta? Ayda meminta nasihat kepada ibu arwah Raudhah.
Pernah sekali Ayda jatuh sakit. Namun dia berdegil untuk keluar bekerja. Jika tidak, dia tiada pendapatan. Malang nasibnya kerana dia nyaris-nyaris sahaja di rogol oleh dua orang pemuda. Puncanya ialah dia mempercayai kedua orang pemuda itu sebagai rakan Amir. Lalu Ayda memakan ubat yang diberi oleh mereka kerana menyangka Amir yang membelikannya. Kepalanya terus pusing dan pandangannya gelap. Dia masih dalam keadaan sedar tetapi tidak mampu membuka mata. Mujurlah ada orang datang menyelamatkannya. Amir. Teruk kedua pemuda itu dibelasahnya. Akan tetapi, Amir ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan mencederakan orang lain.
Rentetan dari peristiwa inilah menyebabkan Ustaz Adib menghulurkan lamaran terus melalui ibu Ayda. Setelah semuanya dipersetujui, Ayda bersiap untuk bernikah dengan Ustaz Adib. Ibu dan adik Ayda dari kampung dibawa ke kota dan pernikahan akan berlangsung pada 15 Zulhijah.
Akan tetapi surat dari Amir membuatkan dirinya gundah. Setelah difikirkan, Lis dan Santi menemani Ayda ke penjara untuk bertemu Amir dan menyampaikan berita ini. Amir tidak berkata sepatah pun.
Ayda dan Ustaz Adib selamat diijabkabulkan. Rumah tangga mereka begitu bahagia. Selepas beberapa bulan, Ayda berasa sedikit bosan. Hidupnya hanya di dalam rumah. Mengemas, mencuci pakaian, dan memasak makanan serta keperluan suami semua disediakan sebaiknya. Akan tetapi Ayda bukanlah jenis orang yang suka duduk diam. Tetapi tidaklah diberitahukan kepada suaminya perihal dia ingin keluar bekerja.
Satu hari, dua orang pemuda datang ke rumah Ayda dan memberikan suratkhabar berkenaan keadaan Amir yang hampir gila. Rupanya hal kedatangan kedua pemuda itu diketahui oleh suaminya. Berang Ustaz Adib jadinya. Namun selepas mendengar cerita Ayda dan berbincang, Ustaz Adib dengan rela ingin membawa Ayda menemui Amir di penjara dan sekiranya Amir benar-benar inginkan Ayda, maka Ustaz Adib akan melepaskan Ayda kepadanya.
Hm.. di sini saya lihat, peri pentingnya seorang isteri patuh dan taat kepada suami. Ini termasuklah menjaga maruah diri dan nama baik suami. Sekiranya suami tiada di rumah, isteri tidak boleh menerima kedatangan tetamu lelaki yang bukan mahram ke dalam rumah kerana ia boleh mengundang fitnah dan musibah.
Selain itu, sebagai seorang muslimah juga seseorang perempuan wajiblah menutup aurat, memelihara maruah diri dan memilih pekerjaan yang tidak membahayakan dirinya. Lebih elok sekiranya perempuan duduk di rumah. Akan tetapi keadaan sekarang ramai perempuan yang memilih untuk berkerja atas sebab membantu ekonomi keluarga.
Perkahwinan yang dilangsungkan mengikut syariat lebih berkat daripada terlalu mengikut adat yang banyak melanggar peraturan Allah. Seeloknya sesebuah majlis perkahwinan itu tidak bercampur antara lelaki dan perempuan, hiburan yang melalaikan dan membezakan para undangan (miskin dan kaya). Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan